The Story

i'm not a professional writer. i write due to my passion in reading and also writing. i've written 'the story' for 2 years plus. Insya-Allah, i'll be posting a chapter in each posting, probably twice a month.

Thursday, June 13, 2013

Part 12

Kring!!! Kring!! Bunyi telefon berdering memecah sunyi malam. Nalya yang sedang pulas tidur sambil memeluk bantal terlompat dari katil. Dalam keadaan mamai, tergesa-gesa dia keluar dari bilik untuk mendapatkan telefon di ruang tamu. Matanya pantas melihat jam yang terletak betul-betul di atas meja telefon.

‘Pukul 1 pagi? Siapa yang gatal telefon pagi-pagi buta ni?’ rungutnya di dalam hati. Tangannya pantas mengangkat ganggang telefon. Bimbang mama dan abah terjaga.

“Assalamualaikum. Siapa ni?”, jawab Nalya agak kasar. Geramnya!

“Wa’alaikumsayang…”

Nalya terasa bagai jantungnya berhenti berdegup. Tangannya menggenggam ganggang telefon dengan kuat. Is it him? Is it really him? Hanya dia yang memberi dan menyahut salam sebegitu padanya. Walau ditegah, dia masih menggunakan sebutan yang sebegitu.

“Nalya…”

“Lya, please answer me.”

Nalya masih tegak berdiri, mulutnya seakan terkunci. Perlukah aku menjawab? Perlukah aku terus mendengar? Nalya mengeluh kecil.

“Mengeluh? Wan tahu Lya tak nak lagi bercakap dengan Wan. Wan cuma cuba nasib ni. Wan tahu time-time macam ni, Lya belum tidur lagi, mungkin tengah baca buku, atau surf internet ke, kan?” tutur Ikhwan yang masih belum mengalah walau sudah hampir 15 minit Nalya mendiamkan diri.

“Wan, semuanya dah berubah!” tegas Nalya. Tidak mahu lagi dia melayan benda-benda sebegini. Luka dahulu, sudah tidak mahu diingati lagi. Kisah kasih yang dahulu, sudah hapus dari hati.

Ikhwan tersentak. Dia terdiam. Air liur ditelan perlahan. Wajahnya diraup perlahan. Dia teringat status Facebook Ika, sahabat baik Nalya tentang pertemuannya dengan Nalya beberapa hari yang lalu;

Zulaikha Zamani ||Alhamdulillah! What a lovely surprise, jumpa Nalya after quite some time! Tak sabar tunggu shopping date dengan dia Sabtu ni!

5 tahun lalu, dia merasakan Nalya tidak pernah ikhlas sayangkan dia. Nalya selalu mengambil mudah segala yang berkaitan dengannya. Kecewanya bertambah apabila mengetahui tentang pemergian Nalya ke UK untuk menyambung pelajaran. Namun egonya menahan dia dari pergi menghantar di lapangan terbang ketika itu. Darah muda yang mengalir, merasuk dia dari mengambil kisah tentang Nalya. Biarlah perempuan itu nak ke mana pun, bukan lagi urusannya.

Bila saja arwah ibunya mencadangkan untuk dia menikahi dua pupunya, dia hanya mengangguk, lantas menyerahkan urusan itu pada arwah ibunya. Senyum lebar si ibu tatkala Ikhwan bersetuju. Dan seperti yang dia sangka, perkahwinannya dengan Ainur tidak pernah menemui bahagia lantas diakhiri dengan perpisahan. Dari saat itu, hatinya kembali mencari Nalya Wirdahani!

“Apa Ikhwan nak, call time macam ni. Semua orang dah tidur, tahu tak?”, seru Nalya mengejutkan lamunan Ikhwan. Sengaja dia memanggil nama penuh Ikhwan, supaya Ikhwan sedar, perhubungan ini amat terbatas. Cuma hanya kawan biasa-biasa. Kawan lama.

‘Sungguh Nalya sudah berubah…’,detik hati Ikhwan. Selalunya Nalya hanya menurut. Bila dimarah atau dibentak, Nalya hanya diam. Menangis. Tidak pernah mahu melawan. Ah! Itu dulu.

“Kalau tak ada yang penting, saya nak letak telefon ni. Dah lewat.”,bentak Nalya.

Hanya sepi yang terhidang di telinga. Saat Nalya mahu meletakkan ganggang, kedengaran suara Ikhwan;

“Maafkan Wan. Please…

“Ya Allah! Setakat nak mintak maaf, esok pun boleh, Encik Ikhwan. Lagipun, awak terlalu bencikan saya kan? Meluat, menyampah, apa lagi ya?”, Nalya terus menyebut kata-kata yang pernah dilemparkan Ikhwan. Dengan tidak semena-mena, airmata Nalya berguguran setitik demi setitik yang lekas-lekas diseka kasar. Terlalu peritnya sebuah kasih sayang. Terlampau terseksanya dia, hanya kerana perasaan ikhlasnya terhadap Ikhwan waktu itu. Belum sempat Ikhwan menyahut, Nalya menyambung lagi;

“Cukup lah Ikhwan. Dah tak perlu lagi kot kita bercakap tentang maaf, tentang cerita dulu. Saya dah tak ada rasa apa-apa pada awak pun. Kalau ada pun, cuma ingat gitu-gitu je.”, Nalya sememangnya tidak mahu lagi mengingati apa-apa tentang Ikhwan.

Dia balik ke Malaysia pun, hanya kerana mama dan abah. Adiknya, seorang sudah berkahwin dan tinggal sendiri. Adik bungsunya pula bakal berkahwin hujung tahun ini. Sudah tiba masanya dia menjaga kedua mama dan abah.

“Hmmm. Saya rindu.”

Nalya terus menghempas ganggang telefon sejurus mendengar kata-kata Ikhwan. Aku benci kau, Ikhwan!